Muhammad Zareef Hussein Anwar Hussein atau nama pentasnya Zareef Sein, 21, merupakan pendatang baharu dalam dunia seni suara tanah air. Penyanyi yang berasal dari Kuala Lumpur ini mula mengasah bakat nyanyiannya seawal usia 13 tahun.
Selepas menjuarai program realiti Vokal Mania pada tahun lalu, Zareef mengorak langkah melancarkan single solo pertamanya berjudul Cinta Syurgaku.
Menariknya, lagu Cinta Syurgaku ini dicipta sendiri oleh Zareef dan susunan muziknya pula dilakukan komposer terkemuka, Audi Mok.
Menurut Zareef single solonya itu merupakan percubaan perdana untuk membina nama dalam industri muzik.
“Idea untuk Cinta Syurgaku ini muncul ketika saya berada dalam bilik. Semua lagu yang saya tulis adalah berdasarkan kisah yang terjadi di dalam dunia cinta saya yang tidak berakhir dengan baik.
“Tetapi apabila saya menulis lirik, saya andaikan cerita cinta itu berakhir dengan pengakhiran yang gembira,” katanya.
Tambah Zareef, proses untuk menulis lirik Cinta Syurgaku mengambil masa yang singkat iaitu sekitar 30 minit. Manakala, proses rakamannya pula mengambil masa selama 3 jam.
Menurut Zareef, bekerjasama dengan komposer terkenal, Audi Mok merupakan satu penghargaan buat dirinya sebagai pendatang baru di dalam industri muzik Malaysia.
“Saya berterima kasih kepada Warner Music Malaysia atas peluang yang diberikan untuk merakam lagu Cinta Syurgaku ini. Menerusi lagu ini, saya berharap ia dapat mengetengahkan semula bakat saya kepada peminat muzik tempatan.
“Semoga lagu ini akan diterima baik oleh pendengar muzik di luar sana. Mudah-mudahan lagu ini mampu memeriahkan lagi industri muzik Malaysia dalam masa-masa yang sukar seperti ini,” jelasnya.