Sekitar 2016, mereka digandingkan sebagai pasangan duet program nyanyian Duo Star. Tentulah, harapan mereka adalah untuk bergelar juara, yang mana pada waktu itu memang menjadi kenyataan. Namun, tanpa sedar, ada rasa selesa ketika mereka diletakkan di atas satu gelanggang. Bibit cinta mula tersemai, benih rasa mula bertunas. Lima tahun mengikat setia, akhirnya Syamel dan Ernie memutuskan untuk mendirikan rumah tangga.
Syamel dan Ernie kini menjuarai cinta.
Diijab kabulkan pada 25 Mac yang lalu, Syamel berkata, dia berasa gembira apabila mula melihat perubahan selepas bergelar kepada suri hatinya, Nur Ernie Shahirah Zakri, 29.
“Rasa best sangat! Bila bangun tidur ada orang di sebelah,” ujar Syamel memulakan perbualan dalam nada berseloroh.
Lelaki berusia 28 tahun dengan nama lengkap Syameel Aqmal Mohd Fodzly, itu menambah, selain rasa gembira kerana kini memiliki pelengkap jiwa, perjalanan hidupnya juga tidak lagi kosong. Bahkan, terisi dengan kemanisan yang dikongsi bersama isteri.
“Dulu, ketika mula-mula pandemik COVID-19 melanda, saya berasa kosong. Maklumlah, lama tidak berjumpa antara satu dengan lain. Tetapi sekarang, walaupun pandemik masih ada, rasa kosong itu tidak ada lagi. Alhamdulllah, kami saling melengkapi.
“Memang orang cakap, manis berkahwin hanya terasa pada titik mula sahaja. Tetapi, saya berdoa agar rasa manis ini berkekalan sampai ke syurga, insya-Allah,” katanya lagi.
Melanjutkan bicara mengenai hubungan, Syamel berkata, agak mustahil jika sesuatu hubungan cinta itu berlanjutan tanpa ada pasang dan surut.
“Ketika bercinta dahulu, kami ada bergaduh. Ada satu masa, ketika sedang merakamkan lagu Aku Cinta pun kami sedang bertelagah. Masing-masing moody.
“Tetapi hal-hal seperti ini yang menyebabkan kita lebih dewasa. Bagi saya, selepas berkahwin adalah masa yang sebenar untuk kita mula mengenali antara satu dengan lain,” katanya lagi.
Beralih tentang hal kewangan, Ernie berkata, pendapatannya dan Syamel sebagai penyanyi agak terjejas disebabkan pandemik. Namun, masing-masing tidak pernah berputus asa dan cuba untuk mencari alternatif bagi mengumpul wang demi kelangsungan hidup selepas berumah tangga.
“Kami sangat bergantung pada majlis makan malam dan boleh dikatakan hampir 80 peratus sumber pendapatan datang daripada majlis-majlis sebegitu. Walaupun kami tidak lagi bekerja pada musim pandemik, tetapi masih ada rezeki lain seperti ulasan produk di Instagram dan dalam masa sama kami juga menjalankan perniagaan.
“Untung apabila sudah bergelar pasangan suami isteri, kami dapat berbincang dengan lebih dekat tentang hal perniagaan dan perancangan-perancangan lain untuk masa depan,” ujar penyanyi lagu Gundah itu.
Diusik pula perihal bulan madu, Syamel berkata: “Buat masa ini kami tidak terfikir tentang perkara tersebut kerana terlalu sibuk dengan kerja. Tetapi pihak Romantika daripada Astro ada menghubungi kami dan mengundang kami ke rakaman program berkenaan yang katanya akan berlangsung di Pulau Langkawi.
“Jika undangan datang daripada Astro, kami tidak perlu risau tentang SOP. Sebab sudah pasti ia telah diuruskan terlebih dahulu,” ujar Syamel sambil memberitahu bahawa rakaman tersebut dijadualkan berlangsung sekitar bulan Ramadan.
Kredit foto: Sweetpictures KL, Instagram Syamel, Instagram Ernie