Mungkin ramai yang masih tertanya-tanya siapakah yang mencipta formula vaksin Pfizer BioNtech? Vaksin yang kini telah mula digunakan di Malaysia sejak kelmarin sebenarnya dicipta oleh sepasang suami isteri berketurunan Turki.
Dr. Ugur Sahin, 55 dan isterinya, Dr. Ozlem Tureci, menghasilkan formula vaksin Pfizer ini dibawah syarikat mereka bernama BioNTech SE yang berpengkalan di Jerman.
Dr Ugur Sahin yang berasal dari Turki telah berpindah ke Jerman bersama ibunya ketika berusia empat tahun untuk menetap bersama ayahnya. Dr Ugur dan isterinya, Dr Ozlem berkahwin pada tahun 2002 dan dikurniakan seorang anak perempuan.
Di atas kejayaan mereka mencipta inovasi vaksin, Dr Ugur dan isterinya juga tersenarai sebagai antara 100 individu terkaya di Jerman oleh Forbes dengan nilai pendapatan sehingga 4.6 billion US dolar. Beliau juga tersenarai antara 500 individu terkaya di dunia!
Vaksin Pfizer BioNTech merupakan vaksin pertama di dunia yang berjaya dicipta dalam masa yang cepat. Keberkesanannya mencapai sehingga lebih 90% dan setiap individu perlu mengambil dua kali suntikan selang 21 hari selepas suntikan pertama.
Foto kredit: © Felix Schmitt/Focus/eyevine