Perkahwinan Syamel dengan Ernie Zakri merupakan satu penyatuan jiwa yang agak unik. Syamel atau nama sebenarnya, Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 28, kini menjadi sebahagian daripada keluarga seni berbakat besar.
Hal ini kerana, Ernie merupakan anak saudara kepada penyanyi tersohor Ziana Zain dan Anuar Zain.
Ditanya bagaimanakah perasaan Syamel apabila secara rasminya bergelar anak saudara kepada dua penyanyi hebat itu, pelantun lagu Biar Cinta itu berkata, dia berasa sangat gembira dan teruja.
“Saya memang happy sebab sekarang sudah ada keluarga baharu. Tambahan pula, mereka terdiri daripada individu ternama yang pernah dan masih menjadi idola saya.
“Cuma sekarang, saya perlu panggil Anuar Zain sebagai Pak Ngah dan Ziana Zain pula sebagai Mak Long Ogy,” katanya sambil tertawa.
Syamel dan Ernie diijab kabulkan pada 25 Mac yang lalu dan majlis resepsinya pula berlangsung pada 3 April.
Kredit foto: Sweetpictures KL