Selepas dilemparkan dengan pelbagai tuduhan oleh rakan-rakan artis, Siti Nordiana tampil membuat laporan polis.
Laporan polis berkenaan dibuat di IPD Cheras pada pujkul 9.42 pagi pada hari ini.
Siti Nordiana atau Nana yang diwakili peguam, Abang Azlan Abang Ariffin menerusi Abang Azlan & Associates, memberitahu, laporan polis itu bertujuan sebagai satu penafian mengenai dakwaan yang dilemparkan pada satu siaran langsung Instagranm.
“Laporan polis itu merupakan satu penafian untuk melindungi Nana daripada tohmahan dan fitnah. Kami masih berbincang mengenai notis tuntutan maaf dan akan dihantarkan kepada lima individu terbabit pada Isnin depan.
“Menerusi notis berkenaan, kelima-lima pihak tersebut akan diberi tempoh masa sehingga 48 jam untuk membuat permohonan maaf kepada Nana.
“Menerusi sesi siaran langsung itu, memang jelas segala perbualan itu merujuk kepada Nana dan kenyataan yang diperkatakan berbaur fitnah sekali gus memberikan imej buruk kepada Nana,” ujar Abang Azlan.
Dalam pada itu, Abang Azlan menambah, tindakan saman akan diambil jika tiada sebarang maklum balas diterima daripada pihak yang dimaksudkan.
Terdahulu, pada Selasa, alam maya kecoh apabila penyanyi Lan Solo bersama isterinya, Nur Sheila Hassim bersiaran langsung di Instagram dan mendedahkan sikap sebenar Nana.
Sesi berkenaan kemudiannya disertai oleh penyanyi Syura, jurusolek Aida G dan pengurus artis dan promosi, Sam Samin.
Sumber: Gempak