Perutusan ‘Kemudahan-kemudahan Bagi Individu Yang Telah Menerima Vaksinasi Lengkap’ daripada Perdana Menteri semalam memberikan kelegaan buat penduduk di negeri-negeri Fasa 2 ke atas.
Kelonggaran sosial itu yang berkuatkuasa pada selasa, 10 Ogos ini hanyalah untuk negeri-negeri Fasa 2 seperti Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Pulau Pinang dan Sabah.
Ia termasuk dengan negeri-negeri Fasa 3 seperti Sarawak, Perlis dan Labuan. Pengumuman ini tentu sekali menghampakan penduduk negeri-negeri Fasa 1 seperti Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Kedah dan Putrajaya.
Sementara itu, Tan Sri Muhyiddin berpesan supaya rakyat tidak mengambil ringan terhadap kelonggaran ini terutamanya premis makanan yang boleh melaksanakan dine-in.
Pemilik premis mestilah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaksanaan kemudahan yang diberikan bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut peraturan serta garis panduan yang ditetapkan dan mengelakkan mudarat.
“Jika berlaku jangkitan COVID-19 di premis yang menikmati kemudahan kelonggaran itu, Kementerian Kesihatan akan segera mengambil langkah sewajarnya termasuk melakukan penilaian semula risiko dan tidak menolak kemungkinan menutup serta-merta premis atau kawasan yang terbabit, selain mengeluarkan kompaun kepada pihak yang dikenal pasti melanggar SOP”, tegas beliau.