Sejak kebelakangan ini, isu pengambilan selebriti media sosial atau Instafamous sebagai pelakon hangat diperkatakan. Baik netizen mahupun penggiat seni, masing-masing punya pendapat mengenai trend ini.
Bagi aktres berbakat besar, Nabila Huda, tidak salah untuk stesen televisyen atau rumah produksi menawarkan projek lakonan kepada Instafamous yang tidak mempunyai pengalaman berlakon di hadapan kamera.
Namun, mereka perlu membantu pelakon-pelakon baharu ini untuk mempersiapkan diri sebelum masuk ke set penggambaran.
“Sejujurnya saya tidak kisah jika stesen televisyen atau produser mahu mengambil Instafamous sebagai pelakon. Saya juga bersikap terbuka dengan trend sebegini. Tetapi, mereka perlulah diberi pendedahan awal tentang dunia lakonan.
“Hantar mereka ke kelas lakonan selama dua bulan. Apabila mereka masuk ke set penggambaran, mereka sudah faham apa yang ingin dilakukan, sekali gus tidak menyusahkan pelakon-pelakon lain,” katanya ketika ditemu bual pada sesi sidang media virtual Diva Popular yang berlangsung baru-baru ini.
Menurut Nabila, 37, dia berasa kasihan melihat pelakon-pelakon baharu ini dikritik dan dicerca di laman sosial.
“Apabila saya membaca kritikan yang ditinggalkan oleh netizen, saya berasa kasihan kepada pelakon-pelakon baharu ini. Jatuh maruah mereka.
“Jadi, selain kelas lakonan, saya rasa produser seharusnya memberikan watak sampingan yang santai terlebih dahulu kepada mereka. Apabila mereka sudah biasa, baru tawarkan watak yang lebih berat.
“Dari situ juga mereka boleh mempelbagaikan portfolio mereka sebagai pelakon,” ujar Nabila lagi.
Dalam perkembangan terkini, drama lakonannya bersama Ben Amir, Tiz Zaqyah, Erma Fatima, Ogy Ahmad Daud dan Kaka Azraff Diva Popular kini ditayangkan di AwesomeTV, Isnin hingga Jumaat pukul 7 malam.
Sumber foto: Instagram Nabila Huda
Artikel berkaitan: