Pelakon yang popular dengan filem J Revolusi, Farid Kamil memberitahu yang dia sudah bersedia untuk bersara daripada dunia hiburan pada bila-bila masa.
Namun, pemilik nama lengkap Farid Kamil Zahari itu berkata, dia menyerahkan perihal rezeki dan perancangan tersebut kepada ketentuan Allah SWT.
“Saya sudah bersedia untuk bersara pada bila-bila masa kalau sudah tak diperlukan lagi, apakan daya…
“Sebagai pelakon modal kita pada instrumen iaitu tubuh badan kita. Kalau kita tak mampu memberikan alunan atau getaran sama bermakna di situlah titik yang menjadi antara pemisah antara saya bersara atau tidak,” katanya memetik laporan Gempak.
Kongsi Farid, dia membuat keputusan tersebut bukan disebabkan kontroversi yang melanda dirinya, atau kerana haters. Kata lelaki berusia 40 tahun itu, niat untuk bersara tercetus selepas mengimbau kembali pencapaiannya sebagai pelakon.
“Saya tak rasa tekanan daripada haters menjadi punca saya berniat untuk bersara. Sedar tak sedar rupa-rupanya saya sudah membintangi 60 buah filem, lagi enam akan menyamai rekod seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
“Ia satu perjalanan yang jauh bagi saya, sedar-sedar sudah 60 buah filem dan apabila itu berlaku saya tahu sebagai hero filem di Malaysia, sejauh mana mampu bertahan?
“Itu berbalik semula kepada rezeki masing-masing, saya reda dan menerima ketentuan Allah,” jelasnya.
Menurut Farid lagi, dia bercita-cita mahu membintangi 100 buah filem sepanjang hayatnya.
Antara filem lakonan Farid yang meraih populariti termasuklah 7 Perhentian, Anak Halal, Lagenda Budak Setan, Pinjamkan Hatiku dan akan datang Remp-It 2.
Farid bakal muncul dalam drama terbaharu adaptasi novel, Masih Ada Cinta bergandingan dengan pelakon Mimi Lana.
Diarahkan oleh Osman Ali, drama tersebut turut dibintangi oleh Dayang Areeda, Halim Radzi, Fahmy Reza dan Aishah Ilias.
Masih Ada Cinta akan mula ditayangkan pada hari ini pukul 7 malam di TV3.
Sumber: Gempak
Sumber gambar: Instagram Farid Kamil