Anugerah Juara Lagu ke-35 yang sepatutnya berlangsung pada 7 Februari lalu akhirnya mengumumkan bakal bersiaran secara langsung pada 14 Mac ini jam 9 malam di TV3.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad & Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh, AJL35 kali ini akan dijalankan mengikut norma baharu dan SOP yang lebih ketat.
“Penularan pandemik COVID- 19 membuatkan kami lebih menitikberatkan soal keselamatan kakitangan, artis dan mereka yang terbabit menjayakan produksi ini. Kami memanfaatkan kebenaran dan kelonggaran diberikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang berkuatkuasa sejak 8 Januari lalu”, jelas beliau.
Sementara itu, menerusi ruangan komen di Facebook, rata-rata netizen meluahkan rasa kecewa kerana acara hiburan tetap berlangsung sepanjang pandemik ini.
Ada yang meluahkan mahu memboikot dengan tidak mahu menonton AJL35. Malah ada juga yang berang kerana lagu yang mereka jangkakan ke final tidak terpilih. Mereka juga menjangkakan yang Hael akan membolot semua trofi kerana merasakan pihak juri bersikap berat sebelah dalam pemilihan finalis.
Finalis yang mendominasi AJL35, Hael Husaini antara yang paling teruk dikecam. Ini semua gara-gara tiga lagu ciptaan Hael berjaya ke AJL35, iaitu Hati nyanyian Hael sendiri, Belenggu Rindu (Wany Hasrita dan Jamal Abdillah), dan Peluang Kedua nyanyian Nabila Razali.
Apa-apa pun hak menonton di tangan anda. Kalau rasa tidak mahu menonton AJL35, tukar sahaja ke saluran lain. Diboikot atau tidak, rasanya AJK35 adalah acara tahunan yang paling dinantikan oleh semua penggemar muzik tempatan.
Antara lagu lain yang bakal bertanding adalah GILA (Kaka Azraff, Loca B dan Noki), Belenggu Rindu (Jamal Abdillah dan Wany Hasrita), Aku Bidadari Syurgamamu (Aishah), Hutang oleh Floor 88, Kau Sakiti oleh Amir Masdi, Gundah nyanyian Ernie Zakri, Jangan Khianati Aku nyanyian Azlan & The Typewriter, Eh nyanyian Zizi Kirana dan Semalam oleh Aina Abdul.
Keputusan penilaian 12 buah lagu finalis AJL35 dilakukan oleh juri-juri profesional iaitu Ajai, Edrie Hashim, Dato’ Mokhzani Ismail, Helen Yap, Fauzi Marzuki, AG Coco dan diketuai oleh Azmeer.